Friday, 26 February 2016

Pastikan pengguna diberi air yang bersih dan selamat





Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) agak terkejut apabila mendapati Kementerian Kesihatan gagal menguatkuasakan peraturan berhubung air dalam mesin minuman, meskipun peraturan ini sudah hampir dua tahun dimasukkan ke dalam Peraturan Makanan 1985.

Kegagalan pihak Kementerian untuk berbuat demikian telah menyebabkan air yang disediakan di dalam mesin minuman (vending machines) dicemari bakteria najis, sepertimana yang didedahkan dalam satu laporan akhbar baru-baru ini. Ramai pengguna yang mengambil air dari mesin minuman sebagai bekalan air minuman mereka mungkin turut terminum air yang tercemar itu.



Pada masa lalu, air paip boleh terus diminum begitu sahaja oleh penduduk. Tetapi memandangkan kualiti air paip semakin menurun, pengguna terpaksa beralih kepada sumber lain untuk mendapatkan ‘air yang bersih’ dengan memasang alat penapis air di rumah, meminum air yang dibotolkan ataupun membeli air dari mesin minuman.

Malangnya ramai yang tidak menyedari bahawa apa yang dipanggil ‘air yang bersih’ itu boelh menjejaskan kesihatan. Misalnya alat penapis air di rumah boleh menjadi punca pencemaran bakteria jika tidak ditukar dengan kerap.

Berhubung air yang dibotolkan, ia dianggap suatu pembaziran disebabkan penggunaan tenaga dalam pengeluaran dan pengedarannya. Selain itu ia juga menimbulkan masalah persekitaran disebabkan pembuangan botol plastik. Sebahagian besar botol-botol itu adalah dalam bentuk botol polyetyhlene melalui penggunaan nombor 1, PET atau PETE. Apabila botol-botol itu disimpan dalam tempoh yang lama atau disimpan di tempat yang panas, ia mula merembes bahan-bahan kimia ke dalam air tersebut. Di negara kita, botol-botol ini dipindahkan dengan lori di mana ada ketikanya suhu boleh mencecah 30°C. Botol-botol ini kemudian disimpan pula di dalam gudang buat beberapa ketika sebelum dijual. Kepanasan menyebabkan bahan kimia lebih cepat merembes masuk ke dalam air tersebut. Meskipun botol-botol itu disimpan di dalam peti sejuk sejak hari ia dibotolkan, bahan kimia masih boleh merembes masuk ke dalamnya.

Di sebalik kenaikan kos penyelenggaraan air, pengguna masih belum menerima bekalan air yang bersih dan selamat. Laporan terbaru mengenai pencemaran air dari mesin minuman seharusnya menyedarkan pihak berkuasa agar memastikan kualiti air minuman dan air paip adalah selamat, dengan menguatkuasakan peraturan berhubung kualiti air.

Sehubungan itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang menggesa pihak berkuasa air dan Kementerian Kesihatan agar menguatkuasakan undang-undang dan peraturan yang sedia ada supaya semua pengguna dijamin memperolehi air yang bersih dan selamat.


Surat kepada Pengarang, 3 September 2014

Sumber: CAP

No comments:

Post a Comment